Inspirasi Perjuangan

ALLAHU RABBUNA ALLAHU GHAYATUNA

ALLAHU RABBUNA ALLAHU GHAYATUNA
TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH

TOLAK SEKULARISME

TOLAK SEKULARISME
SEKULARISME MENGHANCURKAN MANUSIA

Friday, August 20, 2010

Kepimpinan.. Satu tuntutan dalam Islam..

Secara tabie, kepimpinan adalah satu bentuk realiti yang senantiasa wujud di alam ini. Bermula daripada bentuk kepimpinan yang sebesar-besarnya, iaitu kepimpinan Allah terhadap keseluruhan alam ini, hinggalah kepada sekecil-kecilnya iaitu kepimpinan individu. Pengiktirafan Allah kepada kepimpinan manusia merupakan satu bentuk amanah. Maka kepercayaan untuk menguruskan alam ini perlulah difahami dan dilaksanakan sepenuhnya oleh insan muslim itu sendiri.

Firman Allah :Maksudnya : “ Sesungguhnya Aku (Allah) melantik manusia sebagai khalifah di atas muka bumi. (al Baqarah : 30)

Kepimpinan adalah sejenis hubungan perilaku manusia, pengaruh, daya tindakan serta penghalangnya ke arah matlamat yang tertentu dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan. Kedudukan kepimpinan adalah sangat penting dalam Islam. Para sahabat dan tabi’in telah ijmak bahawa amanah ini adalah tuntutan syarak selepas daripada kewafatan Rasulullah. Para sahabat telah berbaiah kepada Abu Bakar untuk menjadi khalifah dengan tidak membiarkan masyarakat tanpa ada pemimpin meskipun pada ketika itu jenazah baginda belum lagi disemadikan. Oleh itu, kepimpinan dalam Islam bukan sahaja merupakan satu TASHRIF tetapi juga kebih daripada itu kerana ianya merupakan satu TAKLIF yang amat besar kepada insan yang terpilih. Ia hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi prasyarat kepimpinan untuk dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tawakkal kepada Allah.

Rasulullah pernah menegaskan : “ Apabila berangkat tiga orang dalam perjalanan maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua”. (al Hadith)

Inilah perintah baginda terhadap perlantikan ketua (pemimpin) walaupun dalam situasi yang kecil (bermusafir) dan maka apatah lagi dalam kumpulan yang besar atau organisasi yang khusus dan mempunyai tugas, sudah pasti keperluan terhadap pemimpin adalah terserlah.

Dalam perjalanan hidup insan, matlamat yang jelas merupakan satu elemen yang sangat penting kerana ia akan mendasari tindakan-tindakan yang dilaksanakan. Islam telah menggariskan beberapa matlamat utama yang perlu dicapai dan ia memerlukan satu bentuk kepimpinan bagi memastikan perlaksanaan yang syarie dan jelas.Pengiktirafan manusia sebagai khalifah disertakan “peruntukan-peruntukan kuasa” yang tertentu menjadikan tugas pemimpin untuk melaksanakan syariat merupakan satu tuntutan yang pasti. Pemimpin wajib melaksanakan syariat Allah sepenuhnya, kerana dengan cara ini sahaja kemakmuran akan dapat dikecapi. Pemimpin mestilah yakin untuk mengaplikasi saranan-saranan Islam kerana ianya dijamin oleh Allah sebagaimana firmannya:

Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah adalah Islam (al Imran : 19)

Ketetapan bahawa Rasulullah merupakan utusan terakhir menegaskan tiada lagi pemimpin umat bertaraf Rasul yang akan dibangkitkan hinggalah kebangkitan semula Nabi Isa, sedangkan tugas menegakkan syariat Allah merupakan kewajipan sepanjang zaman. Oleh itu, perlulah wujud pemimpin di kalangan manusia itu sendiri untuk mengambil peranan baginda. Pemimpin yang dimaksudkan adalah pemimpin yang benar-benar berkelayakan dan bertaraf ulamak. Diiktiraf dan dia sendiri menerima wala’ daripada orang di bawah pimpinannya. Setelah berjaya merealisasikan kedua-dua matlamat utama di atas secara tidak langsung terbuktilah kepatuhan insan muslim kepada Allah, yang dipelopori oleh pemimpin-pemimpin yang berteraskan tauhid yang kukuh dan amalan yang benar. Masyarakat akan dibimbing supaya sentiasa taat kepada Allah dalam amalan seharian mereka dan mereka senantiasa diingatkan oleh pemimpin mereka agar sentiasa berlumba-lumba mencari keredhaan Allah.Kepimpinan yang wujud bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak semua pihak terpelihara. Apabila keadaan ini dapat direalisasikan maka nasib ummat akan terbela dan maslahah akan terjaga. Ini adalah berdasarkan konsep keadilan di dalam Islam yang menuju ke arah keamanan sejagat dan kesejahteraan bersama. Keunggulan Rasulullah sebagai pemimpin terulung merupakan satu fakta yang tak dapat disanggah. Ini dapat dibuktikan dari lipatan sejarah, akan kejayaan baginda mengubah anutan masyarakat jahiliyyah kepada keimanan dan ketauhidan kepada Allah. Ini bermakna Rasulullah memiliki ciri-ciri pemimpin yang sejati dan baginda (dengan bantuan Allah) telah memimpin ummat Islam menuju kecemerlangan di samping membekalkan sahabat-sahabat baginda dengan bekalan-bekalan yang penting untuk menyambung tugas baginda. Firman Allah

Maksudnya : Bahawa Rasulullah itu adalah contoh tauladan yang terbaik untuk kamu teladani.

Ketokohan Rasulullah juga diakui oleh semua pihak dan seorang orientalis barat telah menyenaraikan baginda pada senarai yang pertama di dalam bukunya “ 100 MOST INFLUNCEMAN IN HISTORY” sedangkan tokoh-tokoh utama lain seperti Nabi Isa sendiri disenaraikan di tempat ke tiga. Kenyataan ini telah mengejutkan banyak pihak kerana sepatutnya pengarang mestilah bersifat diskriminasi terhadap Islam. Di samping itu kita juga boleh mencontohi sahabat-sahabat Rasulullah seperti Khulafa’ Arrasyidin. Mengapa tidak kita mencontohi ketegasan Abu Bakar As Siddiq memerangi golongan murtad yang enggan mengeluarkan zakat dalam misi “Harbu Riddah”. Begitu juga keadilan Umar Al Khattab dalam empayar Islam. Tidak ketinggalan Saidina Usman dan Saidina Ali yang mempunyai kehebatan tersendiri yang sewajarnya kita mencontohi mereka semua.

Keimanan yang mantap akan menjelmakan peribadi yang luhur dan pastinya dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Pemimpin yang beriman akan menghalakan orang-orang di bawah tanggungjawab ke arah matlamat yang benar. Keadilan pula, akan menjamin setiap hak individu terpelihara dan suasana yang murni akan dapat dibentuk untuk memastikan kesejahteraan bersama. Ciri ini sangat penting kerana pemimpin sebenarnya adalah seorang daie yang bertanggungjawab untuk menyeru ummat ke arah penghayatan Islam yang sebenar dan menyeluruh. Apabila seorang pemimpin dapat menampilkan imejnya sebagai daie dan murabbi yang baik, peranannya akan menjadi lebih berkesan dan matlamatnya untuk melahirkan generasi yang menjadikan Islam sebagai landasan hidup akan lebih mudah tercapai. Oleh itu, aktiviti perorganisasian dan gerakan dakwah perlu diselaraskan dan sebatikan dalam kepimpinannya.

Di antara kewajipan pemimpin ialah mengetahui segi-segi kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya. Pemimpin yang tidak tahu potensi-potensi dan keupayaan tidak akan dapat menjadi pemimpin yang berjaya. Malah barangkali akan menyebabkan berlakunya pelbagai kemudharatan dan malapetaka terhadap dakwah dan kepimpinannya. Oleh itu seorang pemimpin mestilah.

  • Mengetahui titik kelemahan yang ada pada dirinya lalu memperbaikinya.
  • Mencari sudut kekuatan yang ada pada dirinya serta berusaha meningkat dan memajukannya lagi.
  • Berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkayakan pengetahuan umum dan banyak mempelajari pelbagai topik, pendapat dan fikiran di dalam lapangan politik, sosial, ekonomi dan lain-lain.
  • Memberi perhatian dengan mengkaji peribadi pemimpin Islam dan bukan Islam serta mengetahui cara kepimpinan mereka, sebab-sebab dan faktor kejayaan atau kegagalan mereka.

Perhatian yang diberikan kepada pengikutnya adalah dengan mengenali mereka sekadar yang perlu, mengambil tahu hal ehwal mereka, ikut serta bersama-sama merasai riang dan duka dan bersungguh-sungguh mencari penyelesaian bagi masalah mereka. Semua ini dapat membantu pemimpin itu untuk mengawal serta membina thiqah orang bawahan terhadap dirinya seterusnya dapat mengambil faedah daripada suasana tersebut.Pemimpin yang bersifat dingin terhadap orang bawahannya menyebabkan hubungan antara kedua-dua belah pihak tidak begitu intim. Anak buah yang berasa dipinggirkan mungkin akan mengambil sikap tak kisah sahaja kepada pemimpin mereka. Akibatnya sesuatu perencanaan yang telah disusun tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama antara kedua-dua belah pihak. Walau bagaimanapun, seorang pemimpin janganlah keterlaluan dalam sikapnya unutk mengambil perhatian orang bawahannya kerana ini juga membuatkan mereka berasa dikongkong dan tidak bebas.

No comments:

Post a Comment